KEMAMAN – Kembar siam pertama Terengganu, Nur Shazwanie Zulkifli dan Nur Shazrinie yang bercantum pada bahagian dada, meninggal dunia di pangkuan ibu mereka kira-kira jam 10.10 pagi semalam selepas mengalami komplikasi jantung.
Kedua-duanya yang berusia 2 tahun 2 bulan dan berkongsi jantung serta hati, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Kemaman selepas empat hari dimasukkan ke dalam wad akibat diserang demam serta batuk.
Ibu mereka, Noraini Mohamad, 33, berkata, sejak dimasukkan ke dalam wad, kedua-dua anaknya itu kelihatan lesu, namun pada jam 7.15 pagi semalam, mereka kembali sihat dan aktif selain sempat meminta susu kerana sudah pandai bercakap.
“Selepas beri susu dan lap tubuh mereka, saya riba anak saya. Namun sekitar jam 9 pagi, degupan jantung mereka makin perlahan dengan muka dan tangan bertukar kebiru-biruan.
“Melihat keadaan mereka yang semakin kritikal, saya dan suami hanya berserah pada ALLAH SWT sebelum dada kedua-duanya tidak lagi berdegup. Mata mereka waktu itu terpejam rapat seperti sedang tidur,” katanya sambil menitiskan air mata.
Tercium bau haruman
Akui Noraini, sebagai ibu, dia seolah-olah dapat merasakan kedua-duanya akan ‘pergi’ apabila tercium bau haruman pada malam sebelum anaknya itu meninggal dunia.
“Malam tadi selepas solat Isyak, saya dan ibu, Hamidah Abdullah, 60, terbau haruman sangat wangi ketika sedang menjaga Wanie serta Rinie. Kami berdua sahaja terbau haruman itu kerana apabila saya bertanya kepada orang di katil sebelah, dia cakap
tidak bau apa-apa pun.
“Walaupun sedih dengan pemergian Wanie dan Rinie, namun saya puas hati dapat menjaga ‘anugerah sangat istimewa’ ini selama dua tahun lebih,” katanya.
Noraini juga berkata, pemergian pasangan kembar itu sangat menyedihkan dua lagi anaknya, Nur Sabrina, 9 dan Nur Nasuha, 8, yang rapat dengan adik mereka.
Menurutnya, dia dan suami merancang untuk membawa pasangan kembar itu ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur dalam masa terdekat bagi melihat perkembangan jantung mereka, namun keinginan tersebut tidak kesampaian.
Mimpi badan anak terpisah
Sementara itu, suami Noraini, Zulkifli Ngah, 43, yang bekerja sebagai penjual ikan berkata, dia menyedari perubahan pada anak kembarnya sejak sebulan lalu.
“Perubahan sangat ketara sejak dua minggu kebelakangan ini. Saya lihat Wanie dan Rinie agak pelik, tapi jika ditanya apa yang pelik, saya sukar untuk ceritakan.
“Kira-kira sebulan lalu, saya bermimpi secara tiba-tiba terlihat badan Wanie dan Rinie terpisah tanpa melakukan pembedahan. Mimpi ini rupanya memberi makna sangat dalam. Baru kini saya faham maksud mimpi itu yang beri petanda mereka berdua akan tinggalkan kami,” katanya.
Bagaimanapun, Zulkifli bersyukur kerana sempat membacakan surah Yasin kira-kira 10 minit kepada anak kembarnya itu selepas bergegas ke hospital apabila isterinya memaklumkan anak mereka tenat ketika dia pulang ke rumah di Rumah Murah Bukit Kuang, Kijal untuk mandi dan menukar pakaian, kira-kira jam 9 pagi.
Dalam pada itu, ibu Zulkifli, Sharifah Abdullah, 60-an, turut mengalami mimpi aneh dengan rumah dinaiki banjir besar pada malam kelmarin.
“Dalam mimpi itu, mak saya memanggil-manggil nama saya untuk meminta tolong. Ketika itu, mak saya lihat kain putih berada di kakinya, tetapi ia tiba-tiba hilang ketika dia mahu mengambil kain itu,” katanya.
Jenazah pasangan kembar itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuang, kira-kira jam 3 petang semalam.
Kembar siam pertama Terengganu
Sementara itu, kelahiran Nur Shazwanie dan Nur Shazrinie di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 11.12 pagi 22 September 2011, mendapat liputan meluas daripada media kerana menjadi bayi kembar siam pertama di negeri ini.
Bagaimanapun, kedua-duanya terpaksa membesar di hospital selama lima bulan kerana mereka perlu tinggal di rumah yang memenuhi spesifikasi agar tidak memudaratkan kesihatan mereka yang berkongsi satu jantung.
Kembar siam itu kemudian dibenarkan pulang ke rumah dan menumpang sementara di rumah kakak Zulkifli di Bukit Kuang pada 27 Februari 2012, sebelum mereka berpindah ke rumah sendiri dibina Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) beberapa bulan kemudian.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment