Siti Saleha: Sebulan lihat negara orang

on Saturday, 5 October 2013

MEMERHATI keindahan bandar Barcelona dari atas bangunan National Art Museum.

Apabila menyentuh mengenai aktiviti masa lapang, pelakon jelita Siti Saleha Mohd Baharum juga sama seperti kebanyakan orang iaitu memilih pergi bercuti jika ada kesempatan.

Bak kata gadis berusia 23 tahun ini, bercuti dan melihat tempat orang bukan saja menyeronokkan, malah ia jadi lebih bermakna jika dinikmati bersama orang tersayang.

Jika buka bab bercuti, boleh dikatakan hampir saban tahun heroin filem terbaru, Balada Pencinta ini terbang ke United Kingdom (UK) untuk menghabiskan waktu berkualiti bersama ibunya, Tracey Johnson atau Aishah Rahman dan keluarga lain yang menetap di sana.

Namun, percutian Saleha ke England pada bulan lalu lebih istimewa kerana jelasnya, dia bukan saja melawat keluarga di sana, malah turut mencuri peluang bercuti bersama kakaknya, Rosnah Tracey dan rakan-rakan ke Barcelona, Sepanyol dan Portugal.

Berkongsi cerita dalam ruangan R&R minggu ini, pelakon yang mencipta nama menerusi siri Nora Elena ini berkata, percutian selama sebulan itu memberikan pengalaman istimewa buatnya.

“Sudah lama saya tak lepak dengan kakak dan keluarga di sana. Jadi apabila dapat peluang bercuti, memang saya seronok sangat.

“Percutian ke UK, Sepanyol dan Portugal selepas hari raya lalu sama macam percutian orang lain juga, cuma saya anggap ia sebagai pembuka mata dan pengalaman baru.

“Saya ambil contoh dua benda paling menarik perhatian saya adalah perbezaan makanan dan budaya antara England, Sepanyol dan Portugal,” katanya.

Bercerita lanjut, Saleha berkata, percutian itu bermula dengan sambutan Aidilfitri bersama keluarga ibunya di Portsmouth sebelum dia mengambil kesempatan itu menghadiri Reading Festival 2013 yang berlangsung tidak lama selepas itu.

“Reading Festival adalah konsert tahunan besar-besaran selama tiga hari yang membariskan ramai artis terkenal. Memang seronok sebab kami kena tidur dalam khemah yang disediakan di sekitar tapak konsert.

“Saya dapat saksikan penyanyi antarabangsa seperti kumpulan Green Day, Fall Out Boy dan Eminem pada konsert itu.

“Cuma yang tak syok apabila terpaksa berdepan pengalaman ‘ngeri’ untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tandas bergerak yang kotor di sana,” katanya.

Sambung Saleha, selepas England kembaranya diteruskan ke Barcelona bersama kakak dan seorang rakan selama empat hari pula.

“Saya seronok dapat tengok tempat orang di Barcelona tapi yang tak sedap apabila keseronokan itu dirosakkan oleh sikap kakak saya yang terlalu gelabah sehingga hampir mendatangkan masalah kepada kami.

“Bayangkan ada satu insiden berlaku di lapangan terbang ketika kami kelam-kabut masuk ke balai berlepas untuk pulang ke London akibat terlambat. Kakak saya terjerit-jerit takut tertinggal kapal terbang sampai kami dimarahi dan ditahan pengawal keselamatan.

“Memang saya bengang sangat dengan perangainya, padahal benda itu boleh diatasi. Kalau pergi bercuti dengan keluarga itulah pula masalahnya,” katanya yang terpesona pada keindahan bumi Barcelona.

Namun imbasnya, pengalaman bercuti ke beberapa lokasi di Portugal selama seminggu cukup menyeronokkan.

“Asalnya kami tak ada perancangan pun hendak ke Portugal tapi kebetulan kami tak jadi pergi ke Amsterdam, Belanda sebab ada masalah dan ramai pula kawan di sana beria-ia mempelawa jadi mengapa tidak singgah saja.

“Di Portugal, saya terbuai dengan keindahan struktur binaan bersejarah pada bangunan dan landskap di sana. Percutian di sana cukup istimewa bagi saya,” katanya yang belum merancang percutian akan datang.

BERSAMA rakan di Sagrat Cor yang terletak di puncak gunung Tibidabo, Barcelona.

BERGAMBAR di Castle S. Filipe, Setubal, Portugal.

BERKHEMAH selama 3 hari dua malam di kawasan Little John's Farm, Reading sempena Reading Festival 2013.

Sumber : MyMetro
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved