Lelaki ditahan bantu siasatan kes orang minyak

on Sunday 29 September 2013


MARANG - Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan polis kira-kira jam 1 pagi semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes pencerobohan rumah ibu tiga anak di Jalan Kampung Machang Lada pada Rabu lalu.

Lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota polis diketuai Pegawai Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Marang, Khairul Ridzuan Salleh di hadapan sebuah rumah di Taman Koperasi Padang Midin, Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, suspek berusia 38 tahun itu didapati positif dadah.

Bagaimanapun katanya, polis masih melakukan siasatan berhubung kes pencerobohan tersebut.

Lelaki terbabit diberkas susulan laporan seorang mangsa, Sh Nor Akmaliza Tuan Ibrahim, 33, seperti disiarkan Sinar Harian semalam, yang mendakwa melihat manusia separuh bogel berada berdekatan katilnya kira-kira jam 5 pagi.

Mangsa yang tinggal di Jalan Kampung Machang Lada berkata, kelibat manusia dipercayai seorang lelaki hanya memakai baju dan berseluar dalam itu tiba-tiba muncul dan berada berdekatan katil apabila tersedar dari tidur.

Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun pada 23 September lalu, setelah diberkas sekumpulan sembilan ahli Rakan Muda yang terserempak dengan lelaki terbabit sedang berkeliaran dalam keadaan separuh bogel ketika membuat rondaan di persimpangan jalan Kampung Machang Lada.

Walaupun misteri ‘orang minyak’ masih belum terungkai sepenuhnya, namun tindakan pantas pihak polis sedikit sebanyak melegakan orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan Bukit Payung dan sekitar Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu.

Sumber : Sinar
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved