Dua Beranak Terpisah Selama 21 Tahun Bertemu Kembali Kerana BR1M

on Thursday, 26 September 2013


Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan benar-benar memberi makna yang cukup mendalam kepada seorang ibu tunggal, Khatijah Jaafar, 49, yang akhirnya bertemu semula dengan dua anaknya yang terpisah sejak 21 tahun lalu.

Anak Khatijah, Norhidalyah Awang, 27, dan Mohd Rashid Awang, 30, dipelihara bekas suami Khatijah, Awang Wahab yang meninggal dunia pada 2007.

“Saya pernah berusaha mencari anak saya di Jeli kerana sebelum berpisah dengan suami, kami pernah menetap di daerah itu. Usaha saya menemui kegagalan tetapi saya tidak berputus asa.

“Saya juga pernah cuba mengesan Norhidalyah di Rompin, berdasarkan alamat kad pengenalannya, tetapi dimaklumkan dia sudah berpindah dan tidak siapa tahu tempat tinggalnya sekarang,” kata Khatijah yang bekerja sebagai tukang cuci di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Bharu, Kelantan itu.

Khatijah yang berstatus ibu tunggal berkata, dia sengaja mendaftarkan nama Norhidalyah sebagai salah seorang penerima BR1M di bawah tanggungannya kerana berharap apa yang dilakukannya itu akan membolehkan dia bertemu kembali dengan anaknya itu.

Mungkin sudah ditakdirkan, suami Norhidalyah, Khairul Mubin, 27, turut menyenaraikan nama isterinya itu untuk menerima BR1M, tetapi dimaklumkan bahawa dia tidak layak menerima bantuan berkenaan kerana nama Norhidalyah sudah disenaraikan oleh orang lain.

Hasil siasatan yang dilakukan Khairul, membawa kepada pertemuan Norhidalyah dengan Khatijah dan melalui Norhidalyah juga, ibunya itu akan berpeluang bertemu dengan anak sulungnya, Mohd Rashid yang dikatakan bertugas di Bentong.

“Saya bersyukur kerana BR1M menemukan saya dengan dua anak hasil perkongsian hidup dengan bekas suami. Pada awalnya, saya turut meletakkan nama Norhidalyah di dalam borang BR1M kerana bimbang saya tidak layak, tetapi pada masa sama, inilah saja cara bagi mencari anak saya.

“Saya sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengilhamkan BR1M kerana ia bukan saja membantu rakyat, tetapi juga menemukan saya dengan anak saya,” katanya ketika ditemui di rumah anaknya itu semalam.

Ternyata kedua-dua mereka tidak dapat menahan sebak ketika berpelukan dan tidak percaya dapat bertemu semula selepas 21 tahun berpisah.

Sementara itu, Norhidalyah mengakui terkejut apabila dimaklumkan tidak layak menerima BR1M sedangkan pendapatan dia dan suami tidak melebihi RM3,000 sebulan.

“Saya dan suami mengambil keputusan ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Temerloh untuk menyemak semula status permohonan, namun pegawai LHDN memaklumkan bahawa nama saya sudah digunakan oleh individu lain pada 13 Mac lalu.

“Saya meminta butiran peribadi individu menggunakan nama saya itu dan terkejut apabila mendapati individu itu ialah ibu kandung saya yang terpisah sejak 21 tahun lalu.

“Dua hari kemudian, saya memberanikan diri menghubungi dan gembira kerana impian bertemu ibu yang terpisah sudah dimakbulkan. Saya mahu membela dan menjaga ibu selepas ini dan mahu membina kehidupan baru bersamanya. Saya mahu ibu tinggal dengan kami.

“Walaupun tidak mendapat wang BR1M tetapi saya mendapat sesuatu yang lebih bermakna iaitu dipertemukan dengan ibu kandung,” katanya.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved