UiTM : Mayat Bayi Dalam Tangki Kumbahan

on Friday, 30 August 2013


TELUK GADUNG – Warga kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, dekat sini gempar apabila mayat seorang bayi ditemui dalam loji kumbahan berdekatan Kolej Redang, dekat sini, pagi semalam.

Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui terapung dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian di permukaan loji kumbahan oleh seorang juruteknik syarikat kontraktor, 39, yang ingin memulakan kerja pembersihan di kumbahan tersebut.

Mayat bayi perempuan yang mungkin baru dilahirkan itu dipercayai agak lama dan berkemungkinan masuk ke dalam loji kumbahan itu melalui saluran najis berukuran kira-kira 20 sentimeter dari tandas asrama.

Pemeriksaan awal mendapati bayi terbabit mengalami kecederaan pada bahagian badan, lengan dan tengkorak kepala pecah dan ia berkemungkinan berusia dalam tempoh 48 jam.

Siasatan awal polis mendapati kawasan kejadian berpagar dan dipercayai tidak berkunci semasa kejadian.

Mayat berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hosital Dungun untuk pemeriksaan lanjut serta dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah ketika mengesahkan kes berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci daripada pelbagai sudut termasuk melihat rakaman kamera tertutup (CCTV) serta menyoal siasat beberapa saksi yang boleh dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut Ismail, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Rektor UiTM Dungun, Profesor Madya Dr Abdol Samad Nawi ketika dihubungi berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan menyerahkan kes itu kepada pihak polis.

Kita tak boleh komen apa-apa, biarlah polis siasat dahulu kes ini kerana ia adalah kes polis,” katanya.

Sumber : Forum cari
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved