“Saya cukup kesal dengan apa yang ditulis oleh wartawan terbabit. Isu seperti ini, bukan seperti kisah peribadi artis yang boleh diletakkan dalam ruang gosip. Ini merupakan isu industri yang sepatutnya dibincangkan bersama secara terbuka. Bukannya baling batu sembunyi tangan,” tegas Idham mengenai artikel bertajuk ‘Usah salahkan FINAS filem tak laku,’.
Bagi beliau, wartawan yang berselindung di sebalik nama pena ‘Kak Pora’ dilihat menyerang balas secara peribadi dalam penulisannya, di atas temuramah terdahulu, antara Ahmad Idham dengan wartawan RAP, Harian Metro iaitu Wahi Aziz, dengan tajuk ‘Idham mahu FINAS bertindak,’ bertarikh 14 ogos 2013.
Idham menambah, wartawan terbabit pendek akal kerana lebih seronok menyalahkannya daripada sama-sama mencari jalan penyelesaian.
“Bagi saya, tindakan yang dilakukan oleh wartawan tersebut, dilihat cukup ‘pendek akal.’ Apa yang ditulisnya, lebih bersifat peribadi. Dalam saya meluahkan kegusaran apabila melihat masalah serius yang berlaku dalam industri filem, dia dilihat lebih seronok menyalahkan saya, sepatutnya dia berusaha untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.”
“Selama saya memperjuangkan kehendak dan kepentingan pengiat seni (filem) tempatan, saya amat menghargai kerjasama dan sokongan rakan wartawan, untuk membantu mempertingkatkan lagi industri ini. Saya ucapkan jutaan terima kasih. Tetapi, apabila melihat hal seperti ini, saya merasakan yang mungkin ada agenda lain yang cuba dicapai oleh wartawan (Kak Pora) terbabit. Industri kita bukan dirosakkan oleh orang luar, tetapi oleh mereka seperti ini,” luah Idham,
Ditanya mengenai apa yang sepatutnya dilakukan oleh wartawan terbabit, Idham dengan nada tegas dan jelas berkata, “Saya mencabar wartawan ini. Kalau dia berani, jom kita jumpa dan bersemuka. Kalau dia tidak sahut cabaran ni, saya tahulah yang dia tidak cukup pandai dan sampai bila-bila sekadar duduk dan bersembunyi di belakang ruangan gosip seperti ‘Kak Pora’," ujar Idham.
Industri perfileman tempatan mengalami kemerosotan dari segi kutipan di pawagam dengan jumlah kutipan kasar tiket pada tahun 2012 sekadar RM 97.29 juta (76 filem), berbanding RM 126.49 juta (49 filem) pada tahun 2011.
Lima bulan pertama 2013, menyaksikan penyusutan lebih kritikal apabila kutipan kasar sekadar RM 40.39 juta sahaja.
sumber : http://kezoom.blogspot.com/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment