Bukan satu atau dua cerita timbul mendakwa pelawak dan pengacara terkenal, Zizan Razak semakin tidak berdisiplin dan bersikap besar kepala sejak akhir-akhir ini.
Walaupun bukan isu baru, ia masih diperkatakan segelintir pihak yang pernah bekerjasama dengan pemilik nama penuh Mohd Razizan Abdul Razak menerusi pelbagai program televisyen atau filem.
Namun, Zizan yang sudah lali dengan pelbagai gosip menghadapi dakwaan berkenaan dengan tenang dan terbuka.
Katanya, jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindak-tanduknya, ia bukan disengajakan kerana dia berusaha memberikan komitmen penuh dalam setiap kerjanya.
“Saya langsung tiada niat atau sengaja buat hal. Walaupun saya akui jadual padat menyebabkan saya kurang rehat dan penat, ia bukan alasan untuk saya ambil mudah kerja saya.
“Setiap hari selepas bangun tidur, saya sentiasa beringat diri ini masih terlalu hijau dalam bidang ini. Tiada sebab untuk saya bersikap besar kepala,” katanya kepada RAP, baru-baru ini.
Katanya, isu kelewatan atau masalah disiplin kadang-kadang tidak dapat dielakkan berikutan kerjayanya yang terikat dengan pelbagai komitmen serentak.
Mahu tidak mahu, lewat ketika menghadiri penggambaran atau acara tetap akan timbul dan tidak dapat dielakkan.
“Bukan sengaja mahu menyusahkan orang lain tetapi kerana kesibukan saya dengan banyak komitmen. Saya selalu berusaha memberikan terbaik dalam setiap komitmen,” katanya.
Tambahnya, dia sentiasa sedar pendapatan dalam dunia hiburan ini diperoleh daripada jaringan hubungan yang baik dengan orang sekeliling
. Justeru, katanya, tidak mungkin dia berasa bangga diri dengan kedudukan dan populariti dimiliki sekarang.
“Kalau saya salah, saya meminta maaf. Apa yang saya terkilan, hanya satu atau dua kesalahan orang lain membesar-besarkan keadaan sebegitu teruk.
“Kalau orang sudah tidak suka, bagi emas atau permata pun tetap orang hina juga. Saya hanya reda,” katanya.
sumber : http://www.hmetro.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment