Bukit Mertajam: “Hampir dua bulan saya mencari dan menghubungi suami namun gagal sehingga saya membuat laporan polis mengenai kehilangannya. Namun, saya sangat terkejut apabila melihat lelaki gelandangan yang dipaparkan di Metro Ahad (MA) menyerupai suami saya,” kata Lina yang mendakwa lelaki bernama Zaki seperti dipaparkan dalam MA (14 Julai) adalah suaminya yang menghilangkan diri sejak 6 Jun lalu.
Lina, 28, berkata, dia sangat terkejut dan tidak menyangka, suami yang dinikahi pada 24 Mac lalu sudah mempunyai isteri kerana ketika bernikah lelaki berkenaan sudah disahkan bercerai dengan isteri pertamanya melalui surat cerai ditunjukkan kepadanya.
Menceritakan perkenalan mereka, Lina berkata, dia mengenali Zaki melalui laman sosial Facebook sejak Julai tahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada Mac lalu.
“Kami berkenalan di Facebook pada Julai tahun lalu sebelum dia melamar dan mengajak saya berkahwin,” katanya yang berasal dari Permatang Pauh.
Lina berkata, pada awalnya, keluarga merestui hubungan mereka sehingga dua hari sebelum majlis perkahwinan, bakal suaminya itu ditahan polis di Butterworth kerana memiliki kesalahan jenayah lampau sebelum seorang abangnya menjamin lelaki itu.
“Walaupun mendapat bantahan keluarga, saya teruskan juga majlis kerana semua persediaan sudah dibuat selain suami memberitahu dia sudah berubah dan mahu membina kehidupan baru bersama-sama saya,” katanya.
Menurutnya, selepas berkahwin, suaminya bekerja di sebuah kedai perabot di Bandar Perda dan berulang-alik dari rumah menaiki bas.Katanya, selepas dua bulan perkahwinan mereka, dia melihat suaminya resah dan asyik termenung, namun apabila ditanya, suaminya mendiamkan diri.
“Dia kelihatan gelisah dan suka termenung, tetapi bila ditanya, dia selalu mengelak dan memberitahu tiada masalah,” katanya.Bagaimanapun, pada 6 Jun lalu, suaminya itu tidak pulang ke rumah selepas kerja sehingga memaksa Lina membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya pada 8 Jun lalu.
“Kerana bimbangkan keadaan dan keselamatan suami, saya membuat laporan polis namun dikejutkan apabila diberitahu suami ada beberapa rekod jenayah lampau sehingga menjadi buruan polis,” katanya.
Katanya, usaha menjejaki suaminya menemui jalan buntu kerana dia juga tidak pernah mengenali keluarga suaminya itu yang dipercayai berasal dari Negeri Sembilan.
Menurutnya, kali terakhir suaminya menghubunginya ialah pada minggu lalu dan memintanya memasukkan sejumlah wang ke akaunnya, namun dia tidak berbuat demikian kerana kesempitan wang.
“Dia pernah hubungi saya untuk meminta bantuan kewangan namun apabila saya tanya dia di mana, dia enggan beritahu selain segera memutuskan talian.
“Saya juga tidak menghiraukan permintaannya kerana kesempitan wang selain sakit hati dengan tindakannya yang enggan berterus terang dengan saya,” katanya.
Katanya, dia tidak menyangka kisah yang dipaparkan MA (14 Julai) dan hari berikutnya adalah kisah suaminya yang dicari sejak lebih sebulan lalu.
“Saya berterima kasih pada MA yang berjaya membongkar kisah sebenar dia dan berharap ini menjadi pengajaran kepada wanita di luar sana,” katanya.Mengenai bukti yang mengesahkan Zaki suaminya, Lina berkata, dia mengenali susuk tubuh suaminya selain jam tangan, cermin mata dan beg kamera merah yang dipaparkan dalam MA.
“Melalui gambar yang dipaparkan, saya yakin itu suami saya terutama jam tangan yang dipakainya itu adalah pemberian saya. Selain itu, beg kamera merah yang mengandungi kamera itu milik rakan saya yang dipinjamkan kepada suami namun ketika dia menghilangkan diri beg itu dibawanya bersama,” katanya. Sementara itu, abang Lina yang hanya mahu dikenali sebagai Azmi berkata, dia mahu lelaki itu datang menemui keluarganya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dan melepaskan adiknya secara baik.
“Saya dan keluarga terima dia dengan baik kerana dia berjanji mahu berubah, tetapi tidak sangka jadi begini,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mahu orang lain turut tertipu dengan helah lelaki itu dan keluarganya tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya bagi menuntut ganti rugi.
sumber : http://www.hmetro.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment