Remaja 13 tahun rakam lagu di AS

on Friday, 19 July 2013


Natasha Sass kejar impian jadi penyanyi antarabangsa disegani

Namanya mungkin belum dikenali peminat muzik di negara ini. Bagaimanapun, keadaan itu mungkin berubah sedikit masa lagi kerana ketika artikel ini ditulis, remaja berusia 13 tahun dikenali sebagai Natasha Sass ini berada di Amerika Syarikat (AS) untuk merakamkan tiga single pertama di bawah pengawasan beberapa pemuzik berpengalaman di sana.

Menyanyi di hadapan khalayak sejak usianya 5 tahun, remaja yang dilahirkan dalam keluarga campur ini, iaitu Melayu (ibu) dan Jerman (bapa), turut didedahkan kepada persembahan artis antarabangsa sejak kecil, malah dia pernah merakamkan lagu bersama Rob Caudill, penyanyi klon Rod Stewart.

Saya kena berusaha keras, tetapi tidak mengapa kerana saya yakin mereka juga akan membantu saya mengejar impian bergelar penyanyi berjaya."
Natasha Sass, Penyanyi
Bakatnya mula dikesan pada usia 10 tahun oleh seorang penyanyi jazz AS yang mengadakan siri jelajah di Singapura. Sejak itu, Natasha, yang mengikuti ibu bapanya berpindah ke Kuala Lumpur sejak tiga tahun lalu, tidak menoleh ke belakang lagi.

Menghadiri sekolah antarabangsa di Petaling Jaya, Natasha yang dilahirkan di Kota Singa dan mampu bertutur dalam bahasa Jerman, Inggeris dan Melayu ini turut mendapat sokongan kuat orang tuanya dalam mengejar cita-cita sebagai anak seni.

“Sejak kecil, saya memang suka menyanyi dan kalau boleh, saya hendak jadi orang pertama yang memegang mikrofon. Saya masih ingat, kali pertama saya menyanyi pada usia 5 tahun di Sekolah Antarabangsa Jerman Singapura. Ketika itu saya menyanyi lagu Max der Disco Bar,” cerita gadis muda ini ketika berkunjung ke Balai Berita, sehari sebelum berangkat ke negara Uncle Sam bersama bapanya.

Rakam perjalanan ke Amerika
Pada usia 10 tahun pula, Natasha yang peramah ini mula merakamkan lagu dan mendapat latihan nyanyian. Ketika itu juga dia berpindah ke Malaysia kerana mengikuti bapanya yang menjalankan perniagaan di sini.

“Pada tahun ini, saya menerima undangan ke AS untuk merakamkan lagu yang dicipta khas untuk saya. Lagu terbabit akan dikeluarkan dalam bentuk CD dan untuk siaran radio,” katanya yang akan turut merakam perjalanannya ke sana dan dimuatkan di laman sesawang www.natashasass.com.

Di laman terbabit juga, selain maklumat mengenai dirinya, turut dimuatkan adalah rakaman lagu yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu sehinggalah sekarang.

Natasha berkata, dia menggemari muzik pop, balada dan country, manakala Whitney Houston pula ialah idola utamanya.

“Whitney bijak mengawal suara dan menghayati lagu dendangannya. Dia banyak membantu saya dalam nyanyian, malah dia seperti membuat saya berasakan, saya harus mengejar impian tanpa mengira apa juga pandangan orang lain.

“Saya sendiri cukup teruja untuk merakamkan lagu bersama beberapa pemuzik berpengalaman di AS. Saya tahu, saya kena berusaha keras, tetapi tidak mengapa kerana saya yakin mereka juga akan membantu saya mengejar impian bergelar penyanyi berjaya. Sebelum bertolak, saya juga banyak berlatih bersama guru vokal, hampir setiap hari,” katanya yang menjadikan aktiviti berenang sebagai hobi.
sumber : http://www.bharian.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved