Ramadhan kali ini begitu bermakna buat pelakon Liyana Jasmay, 25, apabila ini merupakan kali pertama dia menyambut bulan puasa sebagai seorang isteri.
Bernikah dengan Fathuddin Mazlan pada Februari lepas, Liyana atau lebih mesra dipanggil Nana bersyukur suaminya tidak terlalu cerewet tentang menu bersahur dan berbuka.
“Suami saya kata, waktu sahur masak makanan yang ringkas seperti sambal udang, sambal sotong atau apa saja yang bersambal. Buka puasa pula, dia serahkan kepada saya untuk memilih,” ujar Nana.
Tambahnya, dia tidak sabar menunggu ketibaan Ramadhan kerana teruja untuk memasak buat si suami.
“Biasanya, mama yang masak. Kali ini, saya yang kena masak untuk suami. Saya ingin cuba masak nasi tomato dan ayam masak merah. Suami pun suka menu itu,” katanya.
Nana yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama ‘Sahabat’ terbitan Suhan Movies berkongsi bahawa dia akan bercuti daripada aktiviti seni sepanjang bulan Ramadhan.
“Saya akan berpuasa di Sabah. Dua minggu sebelum raya, baru saya akan balik ke Kuala Lumpur. Selepas hari raya, saya dan suami akan bercuti di Hong Kong,” kongsinya.
Selain sibuk dengan lakonan, Nana juga sedang dalam proses mengumpul lagu untuk albumnya.
“Buat masa ini, saya dah ada dua lagu. Saya sedang mencari tiga buah lagu lagi yang ‘catchy’. Saya juga teringin berduet dengan Ari Lasso,” jelasnya mengakhiri bicara.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment