Hairul, Leen menderma untuk anak yatim

on Thursday, 11 July 2013


GANDINGAN yang serasi dan mantap serta persembahan hebat di pentas membuatkan pasangan Hairul dan Leen berjaya memukau hati juri dan penonton, lantas menobatkan mereka sebagai juara Ceria Popstar.
Mereka berjaya menewaskan empat peserta lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Trisya yang muncul sebagai naib juara, Vision Mate di tempat ketiga, Razmil di tempat keempat dan Flower Queen yang terpaksa berpuas hati di tempat kelima.
Kemenangan tersebut melayakkan Hairul atau nama sebenar Hairul Asri Alis Sofjan, 14, dan Leen atau Nur Shazleen Natasha Jamluddin, 13, memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan trofi.
Hairul dan Leen yang berasal dari Kuala Lumpur, merupakan anak didik penyanyi, Atilia.
Pada konsert akhir tersebut, lima finalis yang bertanding diadili dengan 70 peratus markah juri dan 30 peratus lagi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.
Dua finalis yang berjaya melepasi pusingan pertama mara ke pusingan kedua yang mana pemenang ditentukan melalui sistem pemarkahan 100 peratus juri.
Pada persembahan pertama Hairul dan Leen menyanyikan lagu Seiring Dan Sejalan yang merupakan lagu asal dendangan penyanyi Broery Marantika.
Persembahan yang penuh yakin dan bertenaga itu berjaya menggamat suasana serta melayakkan mereka terus berada di pusingan kedua.
Pada pusingan itu, Hairul dan Leen sekali lagi berjaya membuktikan bahawa mereka berhak untuk bergelar juara apabila menyanyikan lagu ciptaan pertama untuk mereka iaitu Impianku dengan penuh keyakinan.
Bakat yang dimiliki oleh pasangan itu tidak boleh disangkal lagi, mungkin kerana mereka sudah mempunyai pengalaman berada di pentas nyanyian sebelum ini.
Hairul dan Leen sebelum ini pernah menyertai pertandingan Idola Kecil 4.
Kehebatan persembahan mereka diakui oleh juri tetap iaitu Nurul Huda Wahab dan Mawi manakala Aaron Aziz yang bertindak sebagai juri jemputan pada konsert akhir menganggap mereka telah melakukan persembahan yang mantap dan wujud keserasian.
Menurut Atilia, Hairul dan Leen sentiasa menunjukkan kesungguhan walaupun mereka terbeban dengan dua kerja dalam satu masa iaitu komitmen kepada latihan dan persembahan Ceria Popstar serta fokus kepada pelajaran.
“Mereka sentiasa bersungguh-sungguh dan serius setiap kali sesi latihan dan tidak pernah bermain-main semasa latihan.
“Saya terkejut kerana mereka telah memberikan persembahan yang kemas dan telah mencetuskan aura yang tersendiri.
“Mereka sangat hebat, saya amat berbangga dengan kesungguhan dalam persembahan yang telah ditunjukkan oleh mereka selama 10 minggu konsert bersiaran,” jelas Atilia sejurus selepas konsert tersebut.
Sementara itu, Hairul dan Leen memberitahu mereka akan kekal sebagai pasangan duet selepas program tersebut berakhir.
Walaupun bercita-cita besar dalam dunia nyanyian, mereka memberitahu pelajaran tidak akan diabaikan.
Mereka juga merancang untuk mendermakan sebahagian daripada kemenangan iaitu sebanyak RM1,000 kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim Selayang sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan tersebut.
sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved