Festival Muzik KL 2013 percuma

on Friday, 5 July 2013



FESTIVAL Muzik Kuala Lumpur 2013 akan berlangsung selama dua hari pada 6 dan 7 Julai ini di Jalan Raja, Kuala Lumpur.

MEMASUKI tahun penganjuran kesembilan, Festival Muzik Kuala Lumpur 2013 (FMKL) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tahun ini menampilkan sesuatu yang berbeza apabila ia diadakan secara percuma untuk dinikmati oleh orang ramai.

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, selain percuma, semua persembahan FMKL yang bertemakan Muzik Tanpa Sempadan itu dilaksanakan secara terbuka pada 6 dan 7 Julai ini di Jalan Raja, Kuala Lumpur.

"Festival Muzik Kuala Lumpur kali ini menggabungkan persembahan berbentuk hiburan dan juga kerohanian serta acara keilmuan untuk dinikmati oleh semua golongan, sama ada rakyat Malaysia atau pelancong.

"Jalan Raja dipilih sebagai lokasi festival ini kerana ia merupakan kawasan yang popular dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran FMKL 2013 di Maju Junction, Kuala Lumpur.

Menghidangkan lima aktiviti utama, ia meliputi konsert, bengkel keilmuan, pencungkilan bakat, penyerlahan bakat muda dan ekspo muzik.

Ungkap Norliza, terdapat dua konsert yang diadakan iaitu Konsert Tiga Negara yang menggabungkan artis-artis Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun pada 6 Julai, manakala Konsert Kerohanian diadakan pada 7 Julai di pentas utama Jalan Raja bermula pukul 8.30 malam.

NASH merupakan salah seorang penyanyi yang menjayakan Konsert Kerohanian pada 7 Julai ini menerusi slot FMKL 2013.

"Konsert Tiga Negara menampilkan artis-artis hebat seperti XPDC, Keroz, Dead Mushroom, Sharifah Zarina, Project Pistol, Awang BPR, Andy Flop Poppy, Pentaboyz, Miss Juli dan Yantzen. Konsert Kerohanian pula menampilkan Ramli Sarip, Nash, Rabbani, Raihan dan Hijjaz," jelasnya.

Selain daripada persembahan konsert, ujar Norliza, JKKN turut mengadakan bengkel keilmuan pada 6 Julai bermula pukul 2 petang di Panggung Bandaraya, Jalan Raja, dengan menampilkan dua penceramah iaitu Jeffry Yong dan Steve Thornton.

Kongsi Norliza lagi, festival tersebut juga akan meneruskan program pencungkilan bakat dalam bidang muzik melalui aktiviti seperti uji bakat Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa (PALMA), Bakat Muzik Malaysia dan Battle of the Drums.

"Turut mengisi aktiviti untuk acara ini adalah ekspo muzik. Pelbagai aktiviti pameran dan jualan juga diadakan pada kedua-dua hari tersebut," lantun Norliza lagi.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.klfestival.org.my.

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved