Bagi sesetengah individu, kehadiran bulan ramadan mungkin boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada melakukan senaman atau aktiviti fizikal sama ada di gimnasium mahupun sukan lasak yang lain.
Namun tidak bagi pelakon kacak segak bergaya, Fahrin Ahmad kerana baginya walau seletih mana pun menjalani ibadah berpuasa di siang hari, namun itu bukanlah penghalang untuk dirinya menjalani aktiviti fizikal seperti biasa.
Ditemui selepas majlis pelancaran filem animasi Madagascar 3: Europe's Most wanted di Hotel Le Meridien di sini semalam, Fahrin berkata, dia akan cuba sedaya upaya untuk mengunjungi gimnasium sekerap tiga kali dalam seminggu.
"Selalunya saya akan ke gimnasium sekurang-kurangnya selama sejam selepas menjalani solat terawih. Bukanlah mengangkat besi yang berat sangat, tapi cukuplah sekadar berlari di atas treadmill dan membuat sedikit senaman fizikal.
"Entahlah ada yang kata saya ni sudah kurus dan ada yang kata pula saya ni tak patut kurus. Tapi bagi saya bersenam adalah jalan terbaik untuk sentiasa tampak cerdas dan kekal sihat.
"Malah saya tak mahu berhenti bersenam di bulan ramadan ini kerana dalam usia 30-an saya takut kalau berhenti semingu atau dua, ia akan menyebabkan momentumnya akan lari dan juga menyebabkan saya malas untuk memulakannya semula.
"Bukan bersenam saja, malah saya akan menyertai perlawanan bola sepak persahabatan tidak lama lagi yang dianjurkan teman-teman saya," katanya yang memiliki berat badan 92 kilogram.
Bagi menghormati bulan ramadan, Fahrin memilih untuk tidak terbabit dengan apa juga penggambaran drama mahupun filem untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada solat terawikh dan berbuka bersama keluarga tercinta.
Bercakap mengenai bentuk fizikalnya yang sasa dan maskulin, anak kelahiran Johor Darul Takzim itu telah dipilih sebagai duta minuman Alicafé Tongkat Ali baru-baru ini.
Wajahnya yang komersial dan populariti serta penampilannya yang sasa turut menarik perhatian jenama petrol terkenal dunia, Shell dan produk penjagaan wajah untuk lelaki Garnier Men untuk mengambilnya sebagai duta kedua-dua produk berkenaan.
Tambah Fahrin, dia sendiri tidak menduga untuk terpilih menjadi duta Alicafe Tongkat Ali selama setahun, apatah lagi proses perlantikan serta pembikinan iklan komersial bagi produk berkenaan sangat singkat.
"Semuanya berlaku dengan epat. Penggambaran telah diadakan pada 16 dan 18 Jun lalu. Manakala perbincangan bagi perlantikan saya dibuat pada minggu pertama bulan Jun lalu. Tak sangka ianya menjadi kenyataan.
"Malah saya sendiri terkejut kerana perlu menari dalam iklan berkenaan, walaupun inilah pertama kali saya dikehendaki menari. Kalau nak tahu, saya hanya berlatih tak sampai 2 jam saja untuk menjayakan babak menari berkenaan.
"Bagi saya apa juga produk sokongan yang datang kepada saya, akan saya terima. Bukannya perlu bersesuaian dengan imej maskulin saya saja, tapi asalkan ianya memberikan imej serta mesej positif kepada saya dan peminat apa salahnya," katanya.
sumber : http://www.murai.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment