Memulakan perjalanan kerjaya melalui pementasan teater, Azhan Rani mula bergerak aktif sebagai seorang pelakon sejak enam tahun lalu. Namun begitu, Azhan mengakui walaupun kelibatnya sering dilihat menjayakan pelbagai watak, namanya masih belum begitu dikenali.
“Saya memang mengakui nama saya tidak popular dan merupakan pelakon ‘underdog’. Saya tidak berkecil hati sekiranya peminat hanya mengetahui nama karakter saya. Ini kerana, bagi saya yang penting lakonan tersebut berjaya meninggalkan kesan di hati mereka,’ kata Azhan ketika ditemui di lokasi penggambaran telemovie 'Tiba Masanya' di Alam Damai, Cheras, baru-baru ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Drama dan Teater dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ini menjelaskan, penglibatannya secara aktif dalam bidang lakonan bukanlah dirancang, sebaliknya setelah dicabar oleh Rosyam Nor dan Along Kamarudin.
Jejaka berusia 37 tahun ini memulakan langkah sebagai pelakon apabila terlibat dengan teater 'Lantai T Pinkie'. Bermula detik itu, dia dilihat terus bertahan dengan gaya versatil. Azhan berpendapat pentas teater merupakan platform yang bagus untuk mengasah bakat, namun bukan tempat mencari rezeki.
Selain itu, Azhan yang masih solo lebih selesa bekerja di bulan Ramadan kerana baginya suasana di lokasi penggambaran ketika berbuka lebih meriah. Dia menggunakan cuti raya sebagai masa yang sesuai untuk bercuti dan menenangkan fikiran bersama kawan-kawan.
“Lebih seronok jika bekerja sambil berpuasa kerana juadah juga telah disediakan oleh krew produksi untuk santapan berbuka beramai-ramai. Saya meminati bidang fotografi dan mencuri masa untuk bercuti beberapa hari selepas hari raya untuk menenangkan fikiran,” ujar Azhan.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment