Meskipun sering menerima watak yang lemah dan sering dibuli oleh produser dan pengarah, namun pelawak atau bintang realiti Raja Lawak musim ke-3, Amir akui dia tetap berbangga dengan tawaran tersebut.
Amir Raja Lawak berkata dia bersyukur dengan keadaan fizikal serta perwatakan dirinya kerana kelainanya itu membuatkan produser dan pengarah sering memberikan peluang kepadanya untuk berlakon.
"Saya bersyukur dengan fizikal dan perwatakan saya sebegini kerana saya adalah saya dan mungkin sebab keunikan itu jugalah pengarah dan produser sering tawarkan saya berlakon.
"Malah, sehingga kini saya masih dipanggil untuk menerima tawaran berlakon walaupun watak yang sering diberikan kepada saya adalah watak budak kena buli. Sekurang-kurangnya, fizikal dan perawatakan saya ini punya karakter yang sesuai mengikut kehendak pengarah atau produser.
"Saya tidak kisah apa watak sekali pun kerana saya bangga diterima untuk berlakon kerana diri saya sendiri," katanya kepada murai.com.my selepas pelancaran drama bersiri Balqis di Angkasapuri, kelmarin.
Sementara itu, Amir memberitahu dia gembira apabila ditawarkan untuk berlakon dalam drama Balqis dengan watak yang berbeza dari kebiasaannya.
"Jika selalunya, saya sering dapat watak yang dibuli kali ini berbeza kerana saya pula yang akan membuli orang lain kerana diberikan watak yang agak jahat. Cuma persamaannya saya masih menjadi budak sekolah.
"Bukan sahaja membuli, malah saya yang memegang watak Soid, menjadi pencuri yang berani walaupun ada elemen komedi di situ," ceritanya lagi.
Selain Amir Raja Lawak 3, Balqis yang sedang ditayangkan di TV2 itu turut dibintangi oleh pelakon-pelakon lain seperti Esma Daniel, Eja, Chomel Fana, Amaran Ismail, Arash Mohd dan ramai lagi.
sumber : http://www.murai.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment