'SAYA CINTA EDDIE' - RAJA AZMI

on Thursday, 20 June 2013

Kuala Lumpur : Sesudah hampir setahun menjanda, produser sensasi Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, mengambil keputusan untuk bertunang dengan jejaka pilihannya, Mohd Eddie Ghazali, 45, yang juga bekas anggota kumpulan rock CRK, pada 15 Julai ini, sebelum merancang mendirikan rumah tangga pada 15 September.


Mengumumkan berita menggembirakan ini kepada Harian Metro, semalam, Raja Azmi yang juga ibu tiga anak serta dua cucu berkata, dia menjalinkan hubungan cinta dengan Eddie yang juga seorang duda beranak dua, sejak lima bulan lalu.

“Inilah yang dikatakan suratan takdir. Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat menolak perasan cinta apabila ia hendak datang dan akhirnya saya dipertemukan dengan seorang lelaki yang saya yakin paling sesuai menjadi calon suami saya nanti.

“Perkenalan kami bermula sejak Januari lalu apabila saya diperkenalkan kepada Eddie oleh anak saudara beliau yang juga jurulatih di gimnasium yang selalu saya pergi bertempat di Kota Damansara.

“Mulanya kami berdua hanya bersahabat namun lama-kelamaan terbit pula perasaan sayang kerana Eddie sangat mengambil berat mengenai diri saya dan mahu mendekati anak-anak saya. Kami juga selalu berbincang dan berkongsi masalah bersama-sama. “Eddie berkata sejak isterinya meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu, hidupnya sunyi dan dia hanya ditemani dua anak lelakinya iaitu Daniel, 21, dan Effy, 19. “Kemudian keluar bersama anak-anak kami dan kemesraan terus terjalin sebagai sebuah keluarga,” kata Raja Azmi.

Eddie adalah pemain bass ketika menganggotai CRK dan kumpulan mereka popular dengan lagu Cinta Dan Airmata.

Kata Raja Azmi lagi, walaupun mereka sudah berusia, namun dia masih mahu ikatan perkahwinan keduanya itu dibuat mengikut adat Melayu kerana dia masih lagi mempunyai ibu dan abang.

“Eddie juga masih mempunyai ayah dan ibu. Dia anak anggota polis yang berasal dari Kuala Pilah tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur. Saya akui sangat bahagia kerana seluruh keluarga kami dapat menerima hubungan ini. Doakan kebahagiaan kami,” katanya.

Sebelum ini, Raja Azmi pernah mendirikan rumah tangga dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek. Namun rumah tangga mereka yang dibina selama 28 tahun musnah apabila sah bercerai pada 27 Jun tahun lalu. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak, Puteri Suraya, 28; Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19.

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved